Thursday 20 October 2011

Mangsa pokok sawit tumbang di Tanah Merah

PORT DICKSON – Ribut sekitar Tanah Merah, di sini lewat petang kelmarin menyebabkan seorang pekerja di sebuah ladang sawit maut selepas kenderaan dinaiki mereka untuk pulang ditimpa pokok sawit.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Abdul Wahid Musa, 21, maut di tempat kejadian selepas cedera akibat ditimpa pokok berkenaan yang sudah berusia hampir 23 tahun.

Ketika kejadian, mangsa bersama dua rakannya, Sharul Nizam Mahathir, 30, dan Muhd Yazid Kasimin, 21, sedang bersiap untuk pulang kerana hujan dan ribut melanda selepas seharian bekerja di situ.

Menurut Sharul Nizam, mereka bertiga pada mulanya naik ke kenderaan jenis Land Rover untuk pulang, bagaimanapun arwah yang pada awalnya duduk di tempat penumpang bahagian depan turun semula dan duduk di bahagian belakang kenderaan bersamanya.

“Ketika itu hujan lebat berserta guruh. Tiba-tiba kenderaan kami yang belum bergerak ditimpa pokok kelapa sawit.

“Saya menundukkan badan dan tersepit di celah-celah pucuk kelapa sawit itu, sebelum berusaha keluar dari kenderaan dengan memecahkan tingkap.

“Tetapi, arwah kelihatan kaku di tempat duduknya dan sebahagian tubuh dari kepala hingga pinggang sudah ditimpa dahan-dahan pokok,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Sharul Nizam berkata, dia bersama Muhd Yazid cuba membantu arwah keluar dari kenderaan, bagaimanapun mangsa sudah tidak beri apa-apa tindak balas lagi.

Sementara itu, bapa mangsa, Musa Eron, 62, berkata, dia terkejut menerima panggilan telefon mengatakan anaknya kemalangan.

“Ketika itu saya bayangkan dia kemalangan kerana mahu keluar duit di bank. Ini kerana, Jumaat lalu, arwah ada meminta wang kerana simpannnya hanya tinggal RM50 saja. Pada hari yang sama saya telah mamasukkan wang yang diminta ke dalam akaun banknya,” katanya.

Ibu mangsa, Fatimah Mohd Said, 57, berkata, dia redha dengan pemergian anak tunggalnya itu.

“Dua minggu lalu, arwah sempat memeluk dan mencium saya sebelum pergi kerja dengan mengatakan dia sayangkan saya.

“Dia seorang anak yang sangat manja dan sangat menghormati orang lain,” katanya.

Menurutnya, arwah juga bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke 21 pada 28 Oktober ini.

Jenazah kemudian dituntut keluarga sekitar 11 pagi semalam dan dibawa ke Rengit, Batu Pahat, Johor untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Ladang, di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superitendan Baljeet Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms