Tuesday 11 October 2011

Lima lelaki ditahan curi motor,Aduh N9 ku...

KUALA KLAWANG - Lima lelaki termasuk dua warganegara Indonesia ditahan polis dalam dua tangkapan berasingan pada 23 dan 24 September lalu selepas disyaki terlibat dalam 13 kes kecurian motosikal di daerah ini dan di dua kawasan lain.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Asisten Superintendan Setapa Yusoff berkata, polis menemui bukti untuk menuduh dua daripada lima lelaki berkenaan di mahkamah.

Menurutnya, bagaimanapun tiga daripadanya dibebaskan kerana tiada bukti mereka terlibat.

“Dengan tertangkapnya dua lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan kes kecurian motosikal yang dilaporkan di daerah Jelebu sebanyak 11 kes, Seremban (1 kes) dan satu kes lagi di Kota Damansara, Kuala Lumpur.

“Semasa tangkapan, suspek utama yang juga rakyat tempatan ditangkap polis ketika sedang menunggang salah sebuah motosikal dicuri bersama teman wanitanya berusia 36 tahun di Taman Naga Emas, Titi,” katanya kepada :Sinar Harian: ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, semalam.

Setapa berkata, tangkapan lelaki berusia 27 tahun itu turut membawa kepada tangkapan seorang lagi rakannya yang merupakan warganegara Indonesia di Sungai Muntoh.

“Hasil siasatan, polis mendapati suspek, Azman Ariff, 27, merupakan penduduk di daerah ini mula melakukan kegiatan mencuri motor selepas diberhentikan kerja sekitar Oktober tahun lalu.

“Malah suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan sama, namun tidak pernah dipenjarakan,” katanya.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas enam motosikal yang dicuri. Manakala selebihnya dipercayai dijual oleh suspek kepada rakannya yang berada di Johor.

“Polis tidak menolak kes berkenaan didalangi oleh sindiket mencuri dan menjual motosikal. Polis kini masih memburu rakan suspek yang berada di Johor bagi membantu siasatan.

“Suspek dan seorang lagi rakannya yang merupakan warga Indonesia dihadapkan ke mahkamah Jumaat lalu dan berhadapan dengan lima pertuduhan,” katanya.

Katanya, bagi pertuduhan pertama, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama 16 bulan, pertuduhan kedua (penjara 11 bulan), pertuduhan ketiga (penjara sembilan bulan), pertuduhan keempat (penjara 15 bulan) dan pertuduhan kelima (penjara 11 bulan).

“Manakala rakannya hanya berhadapan dengan satu pertuduhan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 339 (A) bagi kesalahan curi motosikal dan Seksyen 411 bagi kesalahan menyimpan barang curi.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda dan kedua-duanya sekali.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms