Monday 13 June 2011

Gabung semua dalam pasukan N Sembilan - Taufek

Dari harakahdaily
ISTANBUL, 14 Jun: Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang baru dilantik, Taufek Abdul Ghani (gambar) berazam untuk membentuk pasukan yang kuat di negeri itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya berazam untuk menggabungkan semua pihak dan golongan untuk membentuk kombinasi terbaik dalam pasukan pilihan raya ini," kata Taufek ketika ditemui Harakahdaily di sini.

Beliau kini dalam rangka kunjungan ke Turki untuk menjadi pemerhati pilihan raya umum negara itu bersama sembilan lagi anggota.

Taufek mendapat maklumat dia dilantik menjadi Pesuruhjaya Negeri Sembilan yang baru bagi menggantikan Zulkefli Mohd Omar ketika berada di atas kapal untuk menyeberangi Selat Bosporus di Istanbul.

Maklumat itu dibacakan oleh Dr Mariah Mahmud melalui berita yang diterima melalui email beliau. Ketika itu rombongan baru sahaja selesai melawat sebuah sekolah yang dijadikan sebagai salah satu pusat pembuangan undi di Turki.

Semua anggota rombangan PAS dan PKR yang menyertai delegasi Malaysia itu mengucapkan tahniah kepada Taufek atas pemilihan itu.

Bagaimanapun, berita itu tidak mengejutkan sangat kerana sejak tiba di Istanbul lagi gurauan sudah dibuat oleh anggota rombongan kononnya beliau akan dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang baru.

"Tak boleh tolak ke?"

Itulah perkataan pertama yang keluar dari mulut Taufek, seorang yang berpewatakan lembut, ketika ditanya apa perasaan dilantik menjadi pesuruhjaya yang baru.

Ketika itu, Taufek tidak mahu bercakap banyak mengenainya.

Namun, sehari selepas itu, baru Taufek mula menerima kenyataan beliau adalah pesuruhjaya baru PAS Negeri Sembilan dan perlu berfikir apa yang perlu dibuat.

"Saya mengucap ribuan terima kasih atas perlantikan ini. Bagi saya ini satu penghargaan kepada golongan muda dalam PAS dan saya yakin ia akan dibalas dengan memberikan sumbangan terbaik untuk parti.
(Gambar: Wajah Taufek ketika diucapkan tahniah selepas menerima maklumat beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan di atas kapal di selat Bosporus, Turki)
"Ini merupakan satu cabaran dan amanah yang berat kepada saya tetapi saya akan berusaha untuk mencapai yang terbaik," kata Taufek.

Menurut satu-satunya Adun PAS di Negeri Sembilan itu, beliau masih terkejut dengan pemilihan yang tidak disangka-sangka itu.

"Saya akan jadikan pengalaman dan kejayaan kerja pilihan raya AKP sebagai satu inspirasi untuk menghasilkan kemenangan untuk PAS di Malaysia dan Negeri Sembilan khasnya," kata Adun Paroi itu.

PAS bertanding di 13 kerusi dalam pilihan raya umum lalu di Negeri Sembilan namun hanya Taufek sahaja yang menang.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms